label

By tuan tanah

Dalam dua hari ini saya telah terdengar satu kenyataan.

“Orang banyak dosa macam kau ni nak jumpa Lailatul Qadr? Jangan haraplah.”

Kenyataan itu tidak ditujukan kepada saya. Ia ditujukan kepada seseorang yang terkenal berperangai tak semenggah. Tetapi itu bahagian dia yang saya kenal.  Mungkin ada sisi-sisi lainnya yang saya tidak tahu. Mungkin pada malam hari, dia rajin berQiamullail. Atau mungkin tanpa pengetahuan sesiapa, dia bersedekah kepada fakir miskin dan memberi makan anak yatim. Manalah saya tau kan, di sebalik keburukan sikapnya yang jelas nyata, ada amalan-amalan mulia yang tersembunyi.

Cuma yang saya tak tahan ialah sikap si penutur yang sanggup merendah-rendahkan orang lain itu. Ini satu sikap manusia yang sungguh saya tidak berkenan.

Tidaklah pula ia bermakna saya menyokong kemungkaran. Tanggungjawab amar ma’ruf dan nahyu mungkar adalah tanggungjawab semua Muslim. Tetapi betapa pun seseorang itu terang-terang dalam kejahatan, siapa kita untuk menjadi hakim? Dia mungkin jahat sekarang, kemudian hari nanti siapa yang tahu kan? Tegurlah kesalahannya itu tetapi tidak perlulah mengkondemnya habis-habisan.  Teruslah berbuat baik kepadanya dan tunjukkanlah pula akhlak yang baik, dan doakan dia semoga mendapat hidayah sebelum terlambat. Kerana mungkin berkat sikap tidak memilih bulu dan tidak prejudis kita itu akan membuka hatinya.

Tidak semua kawan saya suci bersih (iyalah, dah namanya manusia, bukannya malaikat). Saya sedih dan kecewa apabila ada kawan-kawan yang ‘tergelincir’. Ada masanya saya menegur dan bersuara. Ada yang saya tuliskan di sini. Mengkritik perbuatan mereka. Kerana yang saya benci hanyalah kemungkaran mereka (yang saya nampak itu), dan bukannya mereka. Tetapi bukan hak saya untuk mengukur tinggi rendahnya darjat iman mereka. Tidaklah sampai hati saya untuk menghukum yang mereka itu hanya layak menjadi penghuni Jahannam. Atau melabel mereka itu tidak layak langsung mencium harumnya Jannah. Saya tetap doakan mereka semoga cepat insaf dan semoga sempat bertaubat. Kerana nyawa itu kita tidak tahu bila putusnya.

Kita tidak tahu akan pengakhiran seseorang itu, tidak tahu juga pengakhiran kita sendiri. Ada yang sepanjang hayatnya sejahat-jahat manusia seperti Atabatul Ghulam, tetapi hidayah menyapa sebelum dia pergi selamanya-lamanya. Ada yang yang sangat taat sepanjang hayat tetapi mati tidak sempat bertaubat. Pernah baca kisah abid yang sangat soleh tetapi kerana hasutan syaitan akhirnya dia melakukan tiga dosa besar – minum arak, berzina dan membunuh wanita yang dihamilkannya tanpa nikah itu? Mungkin itu riwayat Israiliyat, Wallahualam, (saya baca pun semasa kanak-kanak) tetapi bukankah tetap ada moral dalam kisah begini.

Saya bukan manusia yang sempurna. Bukan juga super mukminah. Saya ada kelemahan-kelemahan saya sendiri, yang saya tidak suka apabila ada orang lain menghakimi saya dalam kelompok begitu begini. Saya mencuba untuk menjadi Muslimah yang baik, yang kalau ada orang sudi menegur kesalahan saya itu daripada terus membuat menghukum, saya akan menerimanya dengan hati terbuka. Saya sendiri tidak suka dilabel, jadi saya tidak mahu menilai orang lain.

Dan saya akan terus berdoa yang saya dan semua, akan diakhiri dengan Husnul Khatimah.

Dan ya, saya tetap doakan agar si penutur kenyataan di atas juga menerima buku amalannya melalui tangan kanan di sana nanti.

Satu kemusykilan agama:

“Apakah sebenarnya kita boleh membaca Al-Quran semasa bersolat? Membaca di sini bermaksud memegang, menyelak & membaca kitab Al Quran semasa imam sedang membaca surah. Kebanyakan makmum berbangsa Arab selalunya turut membaca Al-Quran bersama-sama imam semasa solat sunat Tarawikh. Bukankah tiga pergerakan berturut-turut akan membatalkan solat?”

Sesiapa yang arif saya harap sudi memberi penjelasan.

Terima kasih.

Kemaskini:

Belasungkawa

Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.

Al-Fatihah buat Allahyarham Encik Syed Mohd Badiuzzaman, ayahanda kepada Cik Sharifah Khasif Fadzillah, qariah yang mewakili Malaya dalam Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2008, yang pulang ke Rahmatullah petang tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Takziah kepada keluarga beliau.

Al-Fatihah.

Label:

9 Respons bagi “label”

  1. zan Berkata:

    Salam tuan tanah.
    Rasanya ni kali pertama beri komen kat tanah baru ni.
    Pasal kawan awak tu, memang kebanyakan manusia memang macam tu.
    Bila ada orang mengaku terima wahyu macam “Rasul Kahar” tu, ramai yang marah, maki hamun tapi dalam tak sedar ramai lagi yang bertindak seolah-olah mereka diberi “kuasa” oleh Allah untuk menghukum sesama manusia..apa kes?

    Untuk makmum di tanah suci, saya rasa tu adalah contoh ke”cantik”an Islam. Untuk makluman, pergerakan 3 kali berturut-turut didalam sembahyang yang membatalkan tu adalah mazhab Syafi’e yang terkenal dengan mazhab yang sangat tegas di antara 4 mazhab. Tapi Islam tak tertegak atas 1 mazhab je kan? Rasanya kalau ada yang pernah belajar pengkhususan tentang perbandingan mazhab boleh menerangkan dengan lebih lanjut..

    p/s: ejaan “nahi” didalam “amal makruf nahyu mungkar” tu typo ataupun begitu ejaan dia?

  2. is150 Berkata:

    Hari Keempat (Khamis) @ 4hb. Ramadan 1429

    “Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat.”

  3. landaklaut Berkata:

    ada seorg kenalan pernah bagitahu saya, jangan suka cakap orang lain jahat. esok2 kalau kita buat jahat macam dia jugak, tak terkata nanti.
    untuk kemusykilan agama, saya bertanya pada ibu sedara saya di Jais..

    “kalau pergerakan tu dibuat 3 kali berturut2 batal solat. boleh tgk al-quran kat sebelah masa solat asalkan arah badan tak beralih dari kiblat”

    harap ini dapat membantu.. wallahualam.. :)

  4. t.a.t.a Berkata:

    Kita memang tiada hak untuk menilai org sebegitu. tapi manusia ni mmg pantang tgk org lebih sket dari dia. bila dia rasa dia baik sket dari org lain terus kondem org lain yg buat kurang baik. bagi saya org yg selalu kondem org lain atas sebab kejahatan org itu, cuba kita tgk balik diri si pengkondem tu. dia mungkin kurang bijak atau ilmu di dada belum penuh. sebab hanya padi yg makin berisi makin tunduk.

    Ada seorg hamba Allah yg saya kenal, dia non-Malay dan convert to Islam. tapi dia convert bila usia dah agak lanjut jadi tabiat lama masih tak boleh nak buang, masih lagi minum dan tidak solat. tapi alhamdulillah dia meninggal dunia pada hari Jumaat. kat situ sy dapat simpulkan Dia Maha Mengetahui, dan apa yg kita fikir adalah sangat terhad.

    wallahualam.

  5. is150 Berkata:

    u have been tagged –> http://www.is150.net/diari/2008/09/tagged-by-eycha.html

  6. puasa-man Berkata:

    jawapan mengenai memegang al-quran ketika solat boleh dirujuk di link di bawah

    http://soaljawab.wordpress.com/2007/09/18/pegang-al-quran-waktu-solat/

    Selamat Berpuasa!!!!!!
    Majulah LEMON & LAI CHEE KANG untuk negara

  7. kantoi Berkata:

    Salam,

    selamat mennunaikan ibadah puasa dan selamat menyambut hari raya yg akan datang. – maaf andainya ada terkasar bahasa dan terguris hati.

    pasal ‘lebel’ tu sya sokong pendapat awak tu…

  8. Pegawai Khalwat Berkata:

    Cuba hang tanya tuang Keras Keng. Rasanya dia lebih arif.
    Aku rasa itu mungkin akibat perbezaan mazhab yang dianuti.

  9. isfahani Berkata:

    ahli dunia yg bertopengkan ahli akhirat. hanya dia terbaik yg lainnya jahat…berbangga diri dapat digahkan bila bersama yg keji…hu hu hu buang lah sifat duniawi. tak kala merenung diri selalu nampak ‘aku’ dimanakah Tuhan yg dikatakan paling hampir hatta diri kita. pandanglah dgn mata Ilahi. semoga aku, korang n sapa2 sahaja termasuk yg menegur tu menggunakan sebaik mungkin Bulan Ramadhan ini supaya dapat melihat yg indah bukan yg keji.

Tinggalkan jawapan