Dia pulang ke Rusia semasa saya sedang bercuti ke Brussels.
Emergency.
Ibu dia tenat.
Saya baru dua minggu diserap ke team baru ketika itu. Empat bulan menanti penuh sabar akan permohonan supaya dipindahkan akhirnya pertengahan Julai lepas saya dijemput memasuki team yang jauh lebih kecil daripada team NBC. Team yang dahulunya cuma ada Micheál (sebutan: Mee-hal) dan Marina. Kemudian datang saya.
Pulang dari bercuti, Marina, teamleader saya itu sudah tiada.
Kami jadi tak cukup tangan. Saya, meski punya pengalaman, masih banyak yang perlu saya pelajari dan dalami dalam team baru ini. Sebagai pengurus, Micheál selalu sibuk - mesyuarat, panggilan telefon, conference call dan pelbagai lagi. Saya rasa bersalah mahu bertanya banyak dan mengganggunya selalu dengan kerja-kerja yang saya masih belum biasa. Klien-klien - pengurus pelaburan yang menelefon, yang mengemel, ada yang pushy, ada yang b*tchy, ada yang sarkastik, meminta kerja-kerja mereka dilakukan sesegera mungkin. Sudah enam minggu, saya masih belum banyak belajar. Yang banyak saya kerjakan selama ini adalah kerja-kerja tertangguh, yang tertinggal, yang sudah terlalu jauh melawati deadline.
Genap satu bulan Marina tiada. Kelmarin. Micheál beritahu.
“Marina tak akan balik sehingga hari Natal. Jadi, Ainun, kamu perlu lebih bertanggungjawab ya. Saya tahu, dalam mesyuarat lepas WIP kita berbeza, tetapi banyak yang perlu dirombak. Banyak kerja yang perlu dibahagi antara kita berdua. Tolong ya.”
Saya telan liur. Besar sungguh tanggungjawab ini. Dalam team kami yang serba tahu Micheál, kemudian Marina. Namun kini nampaknya saya perlu jadi bidan terjun dan perlu jadi orang nombor dua.
“Okay.” Saya beri janji. Teammates should stick together.
“Mak Marina sakit apa?” soal saya, kemudian.
“Kanser.”
Serta-merta wajah Marina terbayang. Wajah yang selalu tersenyum itu bertukar menjadi muram dan penuh duka.
Dan kemudian saya teringat.
September datang lagi.
Ia datang lagi.
Bulan yang selalu pergi selepas melubangkan hati itu datang lagi.