Saya mempunyai kegilaan baru sekarang. Saya suka menaiki tren, berbanding bas. Lagi jauh lagi bagus. Tren akan melalui countryside yang sungguh cantik, hijau dan mengagumkan. Paling saya suka ialah melihat kawanan lembu dan kuda dan kambing biri-biri meragut rumput di padang yang maha luas. Serasa ingin melompat keluar dari tren dan bermain kejar-kejar dengan binatang-binatang itu terutamanya kambing biri-biri. Sehingga saya terfikir mahu mencari keluarga angkat di kalangan petani supaya saya boleh menghabiskan masa di ladang ternak mereka. [Adik, jangan kasitau mak tau. Nanti mak kecil hati Kak Chiq nak cari mak angkat ;)]
Sempena cuti yang lepas, saya ke Aran Islands, tepatnya ke Inishmor (pulau yang terbesar di antara ketiga-tiga pulau tersebut). Agak rumit sebenarnya kerana pelbagai ranjau dan duri terpaksa dilalui untuk ke pulau tersebut (Okay, okay, saya exaggerate). Dari Kota Dublin saya ke Galway dengan tren lebih kurang tiga jam, kemudian menanti bas untuk ke lapangan terbang Connemara. Perjalanan dari Galway ke Connemara mengambil masa lebih kurang jam satu jam. Dan dari Connemara saya menaiki kapal terbang mini untuk ke Inishmor.
Aran Islands adalah salah sebuah tempat di Ireland yang masih menggunakan bahasa Irish (Gaelic) sepenuhnya. Di Inishmore, populasi adalah lebih kurang 800 orang. Antara yang ada: sebuah bank kecil. Sebuah pejabat pos. Kedai Spar (convenience store a la 7 Eleven). Kedai makanan segera Supermac. Tidak ada Internet Cafe di sini. Lebih kurang 60% terlibat dalam sektor perikanan, 35% dalam sektor perlancongan dan bakinya pertanian.
Satu perkara yang nampak ketara di sini ialah mereka banyak membina tembok batu sebagai ‘pagar’ untuk memisahkan tanah milik mereka dengan orang lain dan juga sebagai penghalang daripada haiwan ternakan melompat keluar. Hanya penduduk tempatan yang dibenarkan untuk membina rumah di atas tanah di sini.
Alhamdulillah, dua hari pertama saya di sini, oh, cuaca sungguh lawa. Dan saya, entah apa bendulnya, sudah tahu mahu menghabiskan masa di pulau dan pantai, terlupa pula membawa losyen tabir suria.
Okay, jom tengok gambar-gambar pula. Saya rasa ini entri saya setakat ini yang paling banyak gambar.
Di antara flora yang saya jumpa di Aran. Nama-namanya saya tidak tahu.
Hari ketiga, cuaca muram dan matahari malu. Sangat sesuai untuk berbasikal. Untuk orang yang malas bersenam seperti saya memang cepat semput. Ini dalam perjalanan ke Dun Dubhchatair (Black Fort)
Inishmor yang ditinggalkan. Babai.
Kredit jurugambar saya berikan kepada Kak Nora yang sabar melayan karenah mengada-ada saya. Seperti ibu yang penyayang dia mengingatkan, “Ain, jangan dekat sangat dengan cliff tu. Nanti jatuh!” Dan seperti anak yang nakal dan degil, saya tersengih dan penuh ria duduk menjuntai-juntaikan kaki di tebing Dun Aengus.
“Jom kita bungee jumping nak tak, kak?” Peace!
