Malam hitam pekat.
Tiada walau sebiji bintang pun sebagai ornamen untuk menyerikan malam itu.
Saya duduk memeluk kedua kaki. Kakak di hadapan saya, melunjur kaki. Malam dingin, tapi enak amat. Ada bayu menyentuh malu rambut kami, membuai-buai.
Saya seluruhi wajah kakak, yang tuanya enam tahun daripada saya. Wajah lembut keibuan, masih manis seperti dahulu. Sudah lama saya tidak melihat wajah kakak, seperti hari ini. Berbual-bual dengannya seperti malam ini adalah sesuatu yang amat jarang saya dapat lakukan.
“Kenapa kakak tak pernah cerita pada saya?” tanya saya perlahan. Saya renung wajah akak dalam-dalam.
Kakak merenung saya kembali. Mata beningnya nampak berkaca dalam suram cahaya lampu kuning itu. Kakak cuba tersenyum, rambut yang terbuai menutupi dahi, di bawa ke belakang telinga.
“Akak tahu Ana sibuk dengan kerja dan kehidupan Ana. Lagipun ini masalah kakak.”
“Kak, masalah kakak, masalah saya juga. Saya adik kakak, kan? Sejak bila kakak jadi perahsia dengan saya?”
Kakak senyum lagi. Dia tahu saya geram, berbaur marah juga. Antara kami dua beradik, kakak lebih penyabar, manakala saya lebih cepat memberontak. Kakak pemendam dan pendiam, tetapi saya cepat meluah perasaan tidak puas hati.
“Sejak bila kak?”
Kakak menekur kepala. Berfikir.
“Lima bulan lepas.”
“Lima bulan lepas? Lama tu kak. Bila kakak rancang nak beritahu saya sebenarnya? Atau kakak memang tak nak saya tahu langsung?” Ada nada merajuk dalam kata-kata saya.
Kakak menghela nafas. Ditariknya tangan saya dan dielus-elus lembut. Saya seluruhi wajah kakak dalam balam malam. Wajah redup yang menyimpan rahsia seribu perasaan.
“Mama tahu tentang ini?”
Kakak angguk.
“Mama tak cakap apa-apa? Menantu kesayangan dia tu.”
“Jangan salahkan mama, Ana. Kakak bahagia dengan dia.”
Saya renung wajah kakak lagi. Cuba mencari riak-riak bohong. Ternyata tiada.
“Habis, mama tak kata apa-apa? Abang Syafie buat macam tu pada kakak?”
Kakak usap-usap tangan saya lagi.
“Mama terkilan. Tapi ini bukan salah mama. Mama tak tau Abang Syafie akan buat begini.”
Saya hela nafas panjang. Kakak memang ternyata penyabar.
“Kenapa kak? Sebab anak?” Soal saya.
Kakak renung saya. Saya perasan ada manik-manik jernih terbit di matanya.
“Katanya begitulah.” Suara kakak perlahan.
Sebelas tahun kakak berkahwin dengan Abang Syafie tanpa dikurniakan cahayamata. Dua tahun berkahwin, kakak pernah mengandung, dua kali, tetapi keguguran ketika awal kehamilan. Dua tahun selepas itu kakak mengandung lagi, tetapi keguguran juga. Sehingga kini. Tiada rezeki buat kakak dan Abang Syafie untuk memperolehi zuriat walaupun doktor kata tiada apa-apa kesalahan dengan kakak, mahupun Abang Syafie. Barangkali Abang Syafie sudah jemu mencuba. Barangkali Abang Syafie sudah bosan menanti doanya tidak dikabul Tuhan. Jalan singkat, mencari seseorang yang lain. Barangkali Abang Syafie terilham, bahawa takdirnya dia hanya akan mempunyai anak dengan orang lain, bukan dengan isterinya yang bernama Aisyah Maryam ini.
Eh… bersambung pulak.
Tengoklah kalau tak berapa malas.