Saya ingin tahu:
Adakah di antara penyewa-penyewa di tanahpusaka ini yang mempunyai ketidakupayaan untuk berkata-kata atau mendengar; dan menggunakan bahasa Isyarat untuk berkomunikasi? Jika ada, sila emel saya. Atau jika kamu mengenali sesiapa yang menggunakan bahasa Isyarat, boleh kamu suruh dia emel saya juga? Jika ada peluang, Insya Allah, saya mahu berjumpa dia dan berkomunikasi dengan bahasa Isyarat yang sedang saya pelajari.
Terima kasih.
Seksyen Bahasa terletak di lower ground floor di Eason O’Connell Street. Seksyen ini juga adalah salah satu seksyen kegemaran saya, dan yang penting, ia tidak membuatkan hati saya ngilu.
Apabila suatu hari saya nampak buku Signing for Dummies, saya sedikit teruja. Bagaimana saya boleh terlupa bahawa mempelajari bahasa Isyarat adalah salah satu perkara yang termaktub dalam senarai perkara yang harus saya lakukan? Semasa saya membawa buku itu ke kaunter, lelaki berambut perang dan kerinting itu menegur saya dengan ramah.
“Kamu berminat mempelajari bahasa Isyarat?”
“Ya, saya cuma ingin tahu.”
“Cool! Ramai orang fikir gila apabila kamu buat begini. ” (Sambil membuat isyarat dengan menggerak-gerakkan tangannya).
Saya tersenyum sahaja ketika itu.
Kini, saya terfikir kembali kata-kata lelaki berambut perang dan kerinting itu. Saya terlalu asyik dengan keinginan mahu menguasai bahasa asing seperti Arab, Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman dan lain-lain lagi bahasa yang kononnya boleh membawa kemajuan dalam personal development saya sehingga saya terlupa bahawa ada sekelompok manusia di luar sana yang seumur hidup mereka tidak boleh mendengar atau bercakap langsung bermacam-macam bahasa dalam dunia ini. My, my, how unthoughtful I am!
Suatu hari nanti, seperti yang saya nyatakan di atas, saya ingin berkomunikasi dengan seseorang dengan menggunakan bahasa Isyarat. Saya harap tidak jauh bezanya dengan bahasa Isyarat yang sedang saya pelajari (saya mempelajari American Sign Language [ASL]), jangan ingat bahawa bahasa Isyarat semuanya sama sahaja. Bahasa Isyarat juga berbeza mengikut kawasan, macam bahasa pertuturan juga.
Rupa-rupanya Kimberly sedang hamil lima bulan!
Patutlah saya lihat kebelakangan ini fesyennya sedikit berbeza. Dia asyik memakai baju yang besar dan sedikit labuh sedangkan sebelum ini, seperti perempuan-perempuan orang putih yang lain, dia gemar memakai pakaian tak cukup kain. Saya juga pernah terperasan perutnya sedikit buncit, tetapi saya membuang tanggapan buruk bahawa dia sedang hamil kerana rata-ratanya orang putih di sini, lelaki mahupun perempuan, kebanyakannya memang mempunyai ukurlilit pinggang yang besar kerana hobi mereka adalah minum-minum sambil bersukaria.
Saya amat teringin bertanya kepadanya, “Is this a planned pregnancy or the unplanned one?” tetapi saya rasa saya tidak sepatutnya melukakan hati ibu muda yang belum berkahwin itu.
*Menggugurkan kandungan adalah salah di sisi undang-undang Ireland, walaupun ada beberapa pihak yang sedang berusaha bersungguh-sungguh membuat proposal untuk membatalkan undang-undang itu. Hak wanita, kata mereka. Portugal pula sudah berkira-kira mahu meng’halal’kan perbuatan itu.