Satu kegilaan saya yang amat ketara sekarang adalah membeli buku.
Apabila saya membaca berita ini dan buku Not Buying It My Year Without Shopping karya Judith Levine (di kedai buku juga), dan saya menyimpan azam baru mahu mengikut jejak langkah mereka – tidak mahu membeli apa-apa tahun ini, ternyata nafsu saya bersorak mengejek dan gelak berdekah-dekah memperkecilkan niat murni saya itu. Ya, saya boleh menahan nafsu daripada membeli baju baru, atau aksesori baru atau barangan elektronik baru, namun saya tidak mampu berkata tidak daripada membeli buku.
Kadang kala ketika waktu rehat tengah hari pada hari bekerja, usai solat saya ke Eason, yang dekat amat dengan pejabat saya. Jika saya lapar saya akan makan dahulu (yang selalunya tidak), kemudian ke Eason kembali. Dapat bertapa dalam kedai buku itu sekejap pun jadilah. Usai kerja, jika saya sempat mengitari sebuah kedai sebelum pulang ke rumah, Eason jugalah hala tuju saya. Kalau hari Khamis, dan kalau saya rajin ke Jervis Shopping Centre, saya akan singgah ke Waterstones sekadar melihat buku-buku. Sebelum ke Waterstones, selalunya saya juga sempat singgah ke Chapters (sebelum kedainya berpindah ke Parnell Street) dahulu.
Kalau saya rajin menyeberang sungai ke seberang sana (melalui jambatan ya, bukan perlu bersampan) pada hari Sabtu, saya akan ke perpustakaan publik di Ilac Centre. Duduk dalam perpustakaan ini lama-lama mengimbau kembali akan kegemaran lama saya ke Perpustakaan Negara seorang-seorang ketika di Malaya dahulu. Kadang-kadang kalau saya ada masa masuk ke kedai charity seperti Enable Ireland atau Oxfam, rak buku-buku mereka jugalah yang bertindak bagai magnet yang menarik sepasang kaki saya. Walaupun buku-buku itu ternyata second atau third atau fourth hand sekali pun, kadang-kadang buku-buku yang dijual di situ menarik hati saya, dan harganya jauh lebih murah daripada buku-buku baru yang dijual di kedai-kedai buku elit. Ya, bagaimana saya boleh lupa akan jasa kedai charity ini, kerana dari kedai charity inilah saya terjumpa buku John Grisham dengan harga €2 yang menyebabkan saya jadi peminat karya-karya bekas peguam ini.
Hari ini apabila saya main susun-susun buku di bilik saya, saya kemudian sedar bahawa dua laci besar lutsinar saya itu sudah terlalu penuh, dan ada juga empat kotak besar lagi di suatu pojok di ruang tamu yang penuh dengan buku-buku saya sahaja. Terlalu banyaknya buku-buku saya sampai ada pula buku-buku yang melarat menumpang berbaris-baris macam kubu di atas katil saya. Oh-oh, saya fikir, jikalau saya pulang ke Malaya untuk kebaikan nanti, sudah pasti saya akan mengkayakan tauke shipping hanya dengan buku-buku saya saja.
Dan apabila saya belek-belek senarai buku-buku yang saya miliki di sini, uwahhh… saya rasa sungguh kagum dengan diri sendiri. Buku fiksi hampir satu ratus buah, buku bukan fiksi hampir lapan puluh buah, dan buku puisi ada sepuluh buah. Semuanya dikumpul dalam masa kurang empat tahun saya menetap di sini. Mungkin saya tidak membaca kesemuanya lagi (perlu diingat, kegemaran saya adalah membeli secara pukal) tetapi ketagihan saya sebagai pembeli buku tegar ternyata memang tidak dapat diubati.
Jawapan untuk Kingbinjai:
Sebenarnya saya mempunyai kesukaran untuk meminjamkan orang lain akan barang-barang saya terutamanya duit. Terdapat satu kenangan silam tentang kes pinjam-meminjam ini sehingga memaksa saya menghasilkan entri ini dan ini.
Untuk menguatkan lagi hujah saya, saya sedang belajar mengikut nasihat Encik Richard Templar daripada bukunya The Rules of Life. Menurut peraturan ke-72 di bawah bab Family and Friends Rules, ia menyatakan ‘Never lend money - to a friend or your children or siblings or even parents - unless you are prepared to write it off either the money or the relationship.’
Dan ya, secara jujurnya saya tidak suka masukkan benda-benda semacam itu dalam akaun untung-rugi saya.
Jadi, kesimpulannya, sama ada saya ada lima ribu ringgit atau tidak bukanlah persoalannya; kerana dalam apa-apa situasi sekalipun, saya tidak akan meminjamkannya.