Suatu petang.
Dia dan saya, kami duduk berbual-bual.
“Aku ni sebenarnya bersungguh-sungguh benar nak boikot barang Yahudi,” keluhnya. “Tapi aku ni lupa yang aku ni belajar di DBS, yang memang milik Yahudi.”
Saya terdiam seketika. Tersentak juga sebenarnya. Kemudian, tiba-tiba sahaja ilham itu datang.
“Ilmu itu dari Allah. DBS cuma medium. Tak salah kalau nak menuntut ilmu. Dulu orang Islam yang hebat menguasai ilmu, anggap sahajalah yang kau nak ambil balik ilmu yang mereka curi dulu.”
::DBS, atau Dublin Business School diambilalih oleh Kaplan Inc, di bawah pengurusan The Washington Post Company milik Yahudi pada tahun 2003 (beberapa bulan selepas saya berada di Eire). Ini adalah sebab mengapa kerajaan Malaya membatalkan kontraknya dengan Dublin Business School di Malaya kerana tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan dengan kerajaan Zionis itu. Malah kerajaan Malaya tidak mahu lagi menaja pelajar-pelajarnya ke kolej ini.::
Catatan ringkas tentang ini pernah saya tulis di sini.
—
Perbualan kami itu bila saya ingat-ingat semula, menyebabkan saya mengimbau kisah 10-11 tahun lepas. Guru Sejarah saya pernah mendakwa bahawa Reader’s Digest memberikan beberapa peratus keuntungan jualannya kepada gereja. Sejauh mana kebenaran itu tidaklah saya ketahui, tetapi saya pernah bertanyakan perkara ini kepada mak dan abang saya.
Saya ingat kata-kata abang, “Kita baca Reader’s Digest sebab isinya. Masalahnya orang Islam tak mahu keluarkan majalah ilmu begitu. Orang Nasrani memang dasarnya begitu, ada percentage yang mereka berikan pada pertubuhan agama mereka.”
Dan apabila saya lihat-lihat produk Israel, antaranya ialah National Geographic dan Sky dan Harper Collins - yang menyumbangkan maklumat dan pengetahuan, perlukah saya memboikot jenama-jenama ini juga? Setakat McDonald’s dan Coke dan Starbucks saya memang tiada masalah, tetapi yang membabitkan ilmu bagaimana?
p/s: Saudari Maryam, sila emel saya di cura UNDERSCORE simanjakini AT yahoo DOT com. Insya Allah saya akan cuba menjawab kemusykilan saudari mengikut kemampuan saya.