Tingkap itu bertutup. Langsir pun tidak dikuak dibuka. Gelap. Tiada lampu.
Saya memanjangkan tengkuk melihat ke arah yang ditunjukkan.
“Tiada orang di rumah kot.” Kata saya sedikit termangu, bodoh-bodoh.
Mili merenung saya. Menggigit bibir.
“Saya harap awak betul,” katanya. Dia menyandarkan kepala. Tangannya memegang stereng tapi jari-jemarinya kejap-kejap diregangkan. Saya tahu dia resah.
“Saya harap awak betul.” Katanya lagi. Kepalanya dijongol lagi melihat ke arah tingkap bertutup di tingkat empat di bangunan berbata merah tidak bercat itu. Bibir bawahnya digigit lagi.
“Saya risau. Ada juga petanda lain kalau tingkap biliknya bertutup bergelap begitu.” Suaranya seakan berbisik.
“Ada perempuan dalam rumahnya.”
“Eh… takkanlah…”
“Awak ni! Kita kat Europelah. Dia pun boleh tahan sosialnya.”
Saya mengerut dahi sedikit. “Takkanlah… Dia Muslim, kan?”
“Iya… tapi dia lelaki. Dan dia sudah lama duduk di Europe ni.”
Kali ini giliran saya pula menggigit hujung bibir. Seorang lelaki dan seorang perempuan dalam sebuah bilik bertutup dan gelap. Siapa yang lain yang akan menemani mereka berdua?
Saya cuba buang prasangka jauh-jauh. Perbuatan zina adalah perkara terakhir yang mahu saya fikirkan, apatah lagi jika ianya berkaitan kawan-kawan dan orang-orang yang saya kenali. Saya tahu, kawan-kawan saya bukan malaikat. Mereka semua manusia, yang ada perasaan, yang ada nafsu. Tetapi zina? Ya Allah, janganlah mereka terjebak dengan dosa besar yang merosakkan nasab keturunan itu.
bersambung