Kerana kebanyakan akhbar hari ini melaporkan tentang riot yang berlaku di ibu kota Dublin pada hari Sabtu, 25 Februari 2006 yakni semalam, maka saya pun sengaja mengada-ngada mahu mengikut trend tersebut.
Kerana saya tidak menonton sebarang berita pada hari Jumaat, maka saya langsung tidak tahu-menahu akan berlakunya satu perarakan - Love Ulster Parade pada hari Sabtu. Mujur Tuhan bukakan hati saya untuk keluar berjalan-jalan, bukan untuk menonton wayang seperti kebiasaan hari Sabtu.
Perarakan itu dianjurkan oleh Protestant Unionist dari Ireland Utara mewakili mangsa-mangsa keganasan Irish Republican Army (IRA) asalnya mahu berarak secara aman dari O’Connell Street. Seperti yang diketahui nun di utara, telah berlaku pergolakan antara penganut Nasrani Katolik dan Protestan. Di Ireland Utara, mereka diperintah oleh Unionist sebaliknya di Ireland, Republican yang memegang tampuk pemerintahan. Perarakan aman itu bertukar wajah, menjadi rusuhan hanya kerana pihak Republican mahu menghalang pihak unionist daripada berarak.
Saya dari Grafton Street sebenarnya, mahu menghala ke O’Connell Street. Suasana sangat sibuk, siren polis membingitkan telinga, dua-tiga buah ambulan menuju ke arah Grafton Street dan sekumpulan gardai (polis) bergegas ke arah yang sama. Saya menjadi hairan, tertanya-tanya di dalam hati apa yang berlaku apabila saya mendengar seorang lelaki orang putih berbual melalui telefon genggamnya mengatakan kononnya Grafton Street dibom. Curiosity saya semakin meluap, dan semakin menghampiri O’Connell Street saya lihat ribuan manusia di sana. Jalan telah ditutup, terdapat gardai di celahan manusia yang ramai itu, saya lihat asap hitam berkepul nun sayup mata memandang.
Saya bertanya kepada seorang perempuan dan dia menerangkan bahawa orang-orang dari utara telah datang untuk berarak di sini. Saya lihat anak-anak dol* membawa bendera Ireland, dan 6-packs beer melaung entah apa-apa. Saya lihat ada bendera hitam juga, saya tanya kepada perempuan itu apa maksud bendera hitam itu. Dia mengatakan bendera hitam adalah lambang Anarchist, tetapi hari itu dia kurang pasti betulkah itu memang bendera Anarchist (memandangkan perarakan ini bukan berkaitan Anarchist).
Mereka naik gila, botol-botol arak melayang-layang, membaling mercun dan entah apa-apa lagi. Saya berasa teruja dan mengada-ngada mahu melihat juga secara dekat di samping mahu mengambil gambar gardai dan polis anti-rusuhan yang tegak berdiri menghalang orang daripada memasuki O’Connell Street. Tiba-tiba ada renjisan entah dari mana membintiki kot merah anggun saya itu, sedang hari cerah dengan langit biru. Oh, sungguh celaka! Saya terkena renjisan bir daripada botol-botol yang melayang-layang itu. Busuk sungguh. Kerana terkena air haramjadah itu maka saya terpaksa mematikan niat awal saya untuk mengada-ngada melihat orang putih merusuh.
Saya kemudiannya bertemu seorang teman, kami berjalan patah balik ke belakang, tiba-tiba sahaja orang ramai menderu lari, dan saya terhenyak terhimpit dengan orang ditolak masuk ke celah pintu kedai. Rasa cemas dan kelakar pun ada. Mereka ini, orang-orang ini memprovok polis, bila dikejar bertempiaran lari. Kemudian patah balik, provok lagi, dikejar dan berlari lagi.
Kami melalui Temple Bar, pasukan gardai berkuda sudah bersiap-sedia, bila-bila masa rusuhan boleh merebak. Masuk ke Starbucks Coffee di Dame Street konon mahu menghilangkan haus, tetapi Starbucks pun sudah mahu tutup kerana khuatir mereka merusuh dan memecah pintu dan cermin kaca. Kami ke Wicklow Street kemudiannya, memilih sebuah kedai untuk minum kopi yang kami lihat tiada tanda-tanda untuk tutup.
Menjelang petang, kami menghala pulang melalui O’Connell Street. Saya lihat kedai pakaian dan kasut sukan FootLocker dipecahkan cerminnya, barangan berterabur kerana dirompak, begitu juga kedai Schuh. Salah satu pintu McDonald’s turut lompang. Kesan-kesan hangus pembakaran basikal turut kelihatan. Kaca-kaca bertaburan sudah disapu, dikumpul di tepi jalan.
Saya rasa amat kasihan, dan saya rasa kejadian merusuh ini sebenarnya dilihat oleh kebanyakan orang Dublin (anak-anak Dol terutamanya) sebagai satu keseronokan kerana selama ini hidup mereka terlalu rutin dan tiada excitement.
Bagi saya, melihat begitu ramai manusia berkumpul seperti mengimbau kisah-kisah lalu di Masjid Negara atau kawasan-kawan sekitar Pasar Seni semenjak kejadian hitam 2 September 1998. Cuma rusuhan kali ini tiada jeritan Reformasi, atau Takbir! Allahu Akbar, atau pasukan FRU, atau trak FRU yang melepaskan gas berwarna kuning yang memedihkan mata.
*Anak-anak dol ialah anak-anak Irish yang menerima wang bantuan daripada kerajaan (dole money - unemployment benefit)
Sila baca tentang anak-anak dol di sini. (Ini adalah antara catatan terawal semasa saya mula-mula sampai di sini. Sebarang kelemahan harap dimaafkan)
::Saya sudah basuh kot merah anggun saya itu. Celaka, sungguh celaka mereka ini.::