Saya kira hari ini saya tidak mahu menulis apa-apa.
Tetapi fikiran saya masih terkacau dengan perkara yang baru berlaku tadi.
Sekian lama terperuk dalam rumah, saya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di luar sebentar. Mengukur jalan, masuk dan keluar kedai sekadar menjamu mata.
Saya baru sahaja keluar dari Dunnes Store daripada membeli barang-barang dapur, berselisih dengan seorang lelaki orang putih yang saya tidak cam rupanya, bila dia menutur:
“Muhammad’s a shit.”
Langkah saya terhenti tiba-tiba, darah menyerbu ke muka naik ke kepala, saya menoleh kepada lelaki itu yang terus berjalan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Saya berkira-kira mahu melaung, “Hey mister! What did you just say?”
Tetapi lidah saya kelu.
Saya berdiri di situ, berjurus-jurus lamanya. Nafas saya turun naik, jantung saya berdegup laju. Lelaki itu hilang dari pandangan tetapi jantung saya masih berdebar-debar.
Kamu, sebagai pembaca, jika kamu beragama Islam apa perasaan kamu?
Ini kali kedua saya diprovok hanya kerana agama saya. Yang ketiga, jika kamu kira sekali kejadian pertama saya mula-mula didatangi pendakwah Nasrani hanya selepas beberapa hari saya tiba di Ireland. Kamu boleh baca pengalaman saya itu di sini.
Kejadian kedua berlaku pada 21 Mei 2004. Ya, walaupun saya tidak tulis dalam blog, saya tuliskan tarikh itu di kalendar. Semasa itu saya sedang dalam perjalanan pulang melalui Temple Bar, apabila saya berselisih dengan dua pemuda orang putih yang kemudian menunjuk-nunjuk ke arah tudung saya dan berkata, “Take it off, take it off. It’s not relevant.” Dan kemudian mereka gelak ingkak.
Saya pulang ke rumah dengan jantung yang masih berdebar-debar, dengan darah yang masih mendidih di kepala, mengambil wudhu’ lalu menyelesaikan solat Asar.
Semasa berdoa, air mata saya mengalir, hanya kerana saya tidak kuat mempertahankan deen saya.