Disclaimer: Cerita ini ditulis ketika berada dalam fasa jiwa kacau, hati galau. Kepada sesiapa yang terasa hati, saya dahului dengan ucapan ‘Maafkan Saya’. Ini cuma rintihan hati, luahan rasa sebenar apa yang bermukim di jiwa.
Pada suatu hari, ada seorang gadis yang bernama samaran tuan tanah yang tinggal di sebuah perkampungan yang permai bernama Friendster. Gadis tuan tanah sangat suka menulis, dia sudah menulis semenjak sebelum tinggal di Friendster lagi, tetapi ketika itu hanya untuk bacaan sendiri sahaja. Tidak lama kemudian gadis tuan tanah pernah menerbitkan hasil-hasil tulisannya di easyjournaldotcom dan selepas itu berpindah ke livejournaldotcom. Itu semua sebelum Friendster mempunyai syarikat penerbitan sendiri di perkampungan itu.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, Friendster sudah semakin maju. Ia sudah mempunyai syarikat penerbitan sendiri. Gadis tuan tanah berasa sangat girang, sudah lama dia meninggalkan syarikat penerbitan lamanya kerana terdapat masalah-masalah peribadi dan teknikal yang lain. Kini ada syarikat penerbitan di Friendster sendiri, maka mudahlah gadis tuan tanah menyalurkan buah fikirannya. Tambahan pula setiap kali gadis tuan tanah mencetak hasil tulisannya, setiap jiran-jiran gadis tuan tanah akan mendapat iklan promosi berupa brochures yang diposkan di peti surat rumah masing-masing memberitahu bahawa gadis tuan tanah sudah menulis sesuatu yang baru, maka jiran-jiran gadis tuan tanah bolehlah membacanya secara percuma.
Gadis tuan tanah bukan hanya menulis untuk diri sendiri, gadis tuan tanah turut menulis tentang kawan-kawan alias jiran-jirannnya. Jadi, jika ada di antara jiran-jiran yang tidak mengetahui perkhabaran terkini jiran-jiran lain, dengan adanya hasil tulisan gadis tuan tanah mereka boleh berkongsi cerita dan kisah.
Tanpa disangka-sangka, di antara jiran-jiran gadis tuan tanah yang peramah dan baik hati, gadis tuan tanah turut mempunyai seorang jiran yang busuk hati. Dia adalah seorang ahli sihir yang kejam dan suka mengeluarkan kata-kata kesat dan menyakitkan hati orang lain, bersembunyi di sebalik topengnya yang bulat dan suka tersenyum itu (Friendster smiley). Gadis tuan tanah tidak begitu mengenali ahli sihir ini, dia hanya mengenalkan dirinya sebagai Farah bukan nama sebenar.
Tidak semena-mena, pada suatu hari yang indah, gadis tuan tanah telah mendapat surat kritikan daripada ahli sihir yang bernama Farah bukan nama sebenar itu. Ahli sihir itu sangat marah kepada gadis tuan tanah kerana peti suratnya yang penuh dengan brochures daripada iklan promosi hasil penerbitan gadis tuan tanah. Gadis tuan tanah sangat terkilan kerana kata-kata ahli sihir itu sangat biadap dan tiada adab sopan. Sudahlah demikian, gadis tuan tanah ini tidaklah kenal baik dengan ahli sihir itu tiba-tiba dikecam secara dahsyatnya sehingga mengganggu emosi gadis tuan tanah. Sekiranya ahli sihir itu jiran rapat dengan gadis tuan tanah, sekasar mana pun bahasa yang digunakan, gadis tuan tanah tidak akan berkecil hati kerana gadis tuan tanah sudah mengenali hati budinya. Gadis tuan tanah bukanlah seorang yang sangat emosional atau tidak boleh menerima pendapat orang lain, tetapi kata-kata ahli sihir itu yang menyebabkan dia berasa jauh hati. Sekiranya ahli sihir itu menegurnya secara molek dan menggunakan kata-kata yang halus dan sopan, sudah tentu gadis tuan tanah ini boleh menerimanya.
Gadis tuan tanah segera membalas surat kritikan itu dan memberitahu ahli sihir tersebut: “Sekiranya anda tidak mahu peti surat anda penuh dengan brochures, anda boleh melaporkan kepada petugas pos ’saya tidak mahu sebarang brochures yang memberitahu bahawa gadis tuan tanah menulis lagi. Diharap pihak pos menghentikan sebarang brochures dihantar ke peti surat saya’ dan petugas pos akan mengambil tindakan serta merta tidak akan menghantar sebarang brochures ke peti surat anda lagi.” Ahli sihir itu kemudiannya tidak menjawab surat gadis tuan tanah itu. Mungkin dia berasa malu kerana pengetahuannya tentang cara-cara membatalkan penghantaran brochures itu sangat terhad.
Gadis tuan tanah berasa kecil hati dan teringin membawa diri. Selama ini dia pernah mempunyai keinginan untuk berpindah syarikat penerbitan, tetapi kerana gadis tuan tanah mempunyai ramai jiran di Friendster, gadis tuan tanah membatalkan hasratnya itu. Namun nampaknya kali ini dia benar-benar jauh hati dan ingin mengembara meninggalkan perkampungan Friendster.
Setelah berfikir semasak-masaknya, gadis tuan tanah akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan syarikat penerbitan di perkampungan Friendster. Walaupun gadis tuan tanah menyatakan bahawa dia memaafkan ahli sihir itu tetapi lukanya masih ada, parutnya masih jua kelihatan dan tidak mungkin kejadian ini akan dilupakan sepanjang hayatnya.
Tamat
Bukan kisah dongeng
Oktober 22, 2005 oleh tuan tanah